Thursday, October 28, 2010

Kebergantungan.

LEMAH. Itulah hakikat diri manusia walaupun ada yang cuba menafikannya. Tamadun barat cuba dibangunkan di atas dasar yang berlawanan dengan hakikat ini.

“Tuhan telah mati, dan kami telah membunuh-Nya. Kami manusia sedang menghantar-Nya dengan upacara pengebumian yang meriah. Iman kepada Tuhan menandakan jiwa yang lemah dan akibat dari ketidakberdayaan manusia. Keimanan kepada tuhan membuat manusia ragu, kerana sesungguhnya manusia itu memiliki kemampuan dalam dirinya.”

Ini laungan kebanggaan ahli falsafah barat yang ingin menafikan hakikat kelemahan manusia. Lihatlah apa pula yang telah terjadi di barat. Angka bunuh diri meningkat dari masa ke semasa, tiba-tiba sahaja ada remaja yang mengamuk di kawasan sekolah dengan senjata api hingga akhirnya mengorbankan beberapa nyawa dan mencedera parahkan beberapa yang lain. Adakah ini dikatakan kemajuaan atau tamadun? Apakah ertinya semua ini sedang jiwa manusia sentiasa keluh kesah.
Kini ahli falsafah barat melaungkan lagi alunan falsafahnya tetapi bukanlah laungan kebanggaan tetapi raungan kekecewaan. Lamony salah seorang ahli falsafah menyebut:

“sesungguhnya sekarang ini seluruh manusia sedang berjalan cepat menuju kehancuran. Kini manusia berada dalam sakarat terakhirnya, sehingga sangat sulit untuk mengharapkan mereka sembuh kembali. Ini semua kerana kesalahan besar peradaban kita yang telah menyeret manusia tenggelam ke dasar kegelapan.”

Betrand Russel juga berkata tentang kesengsaraan yang melanda umat manusia;

“Haiwan-haiwan yang berada di sekitar kita lebih berbahagia daripada kita manusia. padahal seharusnya kebahagiaan itu juga dapat dinikmati oleh manusia. tetapi kenyataan di alam moden ini manusia tidak dapat menikmati hidup, dan kini semakin jelas betapa mustahil dapat meneguk kebahagiaan.”

Kita tidak menyalahkan barat dalam hal ini kerana mereka memiliki sejarah hitam dan menggerunkan dalam hal-hal ketuhanan dan keagamaan. Tanah air mereka pernah dikuasai oleh pihak gereja yang mewarnai sejarah mereka dengan kezaliman yang melampaui batas kemanusiaan. Ada saintis dan golongan cerdik pandai mereka di bakar hidup-hidup kerana dikatakan membawa sesuatu yang baru yang dianggap sebagai bidaah- perkara baru yang tidak dapat diterima kerana takut merosakkan kepercayaan yang sedia ada.

Setelah berjaya keluar dari sangkar beracun dan menakutkan itu mereka akhirnya meninggalkan terus apa sahaja yang berbau keagamaan atau ada kaitan dengan ketuhanan setelah hari-hari yang dilalui dicemari oleh kerakusan wakil-wakil tuhan mereka. bahkan mereka lontarkan tuduhan-tuduhan mereka kepada sesiapa yang masih ingin mempertahankan agama dengan panggilan-panggilan ortodoks, fundamentalis dan lain-lain lagi yang kini cuba dilontarkan pula kepada pendakwah-pendakwah Islam.

Kini mereka menyedari bahawa mereka tidak akan mungkin terbang dengan satu sayap iaitu KEBENDAAN dan mengabaikan KETUHANAN dari hidup mereka. sistem robotik semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan. Batu dan besi tidak akan menghadiahkan senyuman apatah lagi kebahagiaan kepada mereka. Bunyi geseran ‘bullet train’ tidak akan menghasilkan alunan yang melembutkan jiwa apatah lagi ketenangan jiwa.

Kita sebenarnya memerlukan tempat bergantung untuk kita sandarkan harapan kita dan tujukan doa kita. Inilah hakikat insan lemah dan serba kekurangan. Kebahagiaan tidak akan menyapa jiwa kita tanpa kita bukakan pintu hati kita untuk menerima hakikat kelemahan diri ini. ketenangan tidak akan hadir sehingga sinar kebenaran memenuhi ruang fikiran kita dan segala kekusutan hidup tidak akan terlerai hingga CAHAYA KEIMANAN menerangi hati-hati kita.

Sumber: HALUAN Membangun Minda Mendidik Hati.

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Popular Posts Widget