Tuesday, November 9, 2010

Seriuslah dengan Tuhan

Pernah Sayyidina Umar Bin Khattab r.a ketika berziarah ke rumah Baginda, berasa terharu menyaksikan seorang kekasih Allah S.W.T sedang berbaring di atas tikar yang merupakan susunan pelepah-pelepah kurma. Nampak bekas jalur tikar ditubuhnya.

Di dalam rumah Baginda yang penuh barakah itu tidak ternampak peralatan lambang kemewahan, hanya ada almari yang berisi segantang gandum kasar. Kemudian Sayyidina Umar r.a menangis di hadapan Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w bertanya ,
“Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Umar?”

“Aku melihat para Kaisar dan Kisra serta raja-raja lain tidur di atas katil mewah bealaskan sutera, tetapi di sini aku melihat engkau tidur beralaskan tikar seperti ini,” jawab Sayyidina Umar.

“Wahai Umar, tidakkah engkau sependapat denganku. Kita lebih suka memilih kebahagiaan di akhirat sedangkan mereka memilih dunia,” itulah jawapan seorang hamba Tuhan.

Luluhlah hati Sayyidina Umar mendengar jawapan daripada Rasulullah s.a.w itu.
Begitulah gambaran peribadi seorang yang sangat mencintai dan takut dengan Tuhan. Bukan hanya dalam keadaan susah beliau boleh mengekalkan kehambaannya tapi dalam keadaan mewah dan kedudukannya yang tinggi sekalipun Rasulullah s.a.w tetap merasakan kehambaannya. Lantaran itulah baginda memilih kemiskinan daripada kemewahan. Inilah lambang keseriusan hatinya dengan Tuhan. Serius dalam mencari cinta dan redhaNya.

Bagaimana sikap orang yang serius dengan Tuhan? Antaranya ialah dalam keadaan apa pun, hati sentiasa cemas dan bimbang terhadap Tuhan. Kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan dirasa belum berbuat. Kalaupun bejaya dalam satu kerja, dirasakan belum hasil dengan kerjanya, tapi milik Tuhan. Dalam diri telah tertanam dengan rasa kurang, rasa lemah, rasa tidak mampu, sehinggalah dari situ lahirlah benih-benih cinta terhadap Tuhan. Cinta Tuhan sangat diperlukan dalam kehidupan seseorang insan.

Insafilah bahawa Tuhan sangat menyukai hamba-hambaNya yang serius denganNya. Serius maknanya sentiasa berusaha untuk dekatkan diri dengan Tuhan. Segala apa yang kita buat sentiasa dihubungkaitkan dengan Tuhan. Suka atau tidaknya Tuhan terhadap apa yang kita lakukan menjadi persoalan yang sentiasa ada dalam fikiran dan hati kita.

Hadirkanlah Tuhan, bagi mengiringi kerja-kerja yang kita lakukan, baik kerja-kerja lahir mahupun yang batin. Agar kita berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap tindakan kita. Apabila kita serius denganNya , maka tuhan akan memberikan perhatianNya . Betapa besar kasih sayang Tuhan kepada hambaNya, pemerhatianNya itu adalah lambang kasih sayangNya pada hambaNya.

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Popular Posts Widget