Monday, May 3, 2010

Wanita Itu....



Hikayat seorang yang bernama wanita… dilahirkan sebagai perhiasan dunia… dipandang elok oleh sang lelaki. Menjadi taruhan segenap isi hati yang ingin memiliki. Oh wanita… Tahukah kamu, kamu adalah perhiasan yang indah. Indah bukan dipandang dari rupa yang cantik berseri, bukan juga dari peragaan fesyen terkini dan bukan juga dari bentuk badan yang bisa mengiurkan lelaki. Perhiasaan yang terbaik adalah wanita yang solehah, menuruti segala perintah tuhannya, mengasihi RasulNya, mentaati ibu bapanya serta suaminya dan juga menjalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang anak dan isteri.
Dari Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma bahwa Rasulullah Shalallahu ‘alaihiwassalam bersabda:


“Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solihah.” (HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Perhiasan adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata. Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah hati apabila melihat perhiasan.

"Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat, atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.

Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah wanita. Kalau begitu, boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah kita menjadi wanita? Persoalannya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?

Wahai wanita… tahukah kamu dalam keindahan kamu sebagai perhiasaan dunia, kamu juga boleh terjerat menjadi fitnah kepada dunia. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu. Ibarat bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak kekal. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.

Mengapa wanita itu dianggap sebagai fitnah kepada dunia?

“Wahai lelaki-lelaki yang beriman tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu….”

Pada siapa terlebih dahulu Allah dahulukan pesanannya? Pada hamba yang bergelar Ar-Rijal... kerana andai si lelaki menjaga pandangannya maka tidak mungkin terlihat akan wanita yang menjadi fitnah pada dirinya..
Dan tidaklah Allah lupakan pesanan buat wanita agar memelihara auratnya.. kerana di situlah kehormatannya.. bukan fitnah semata-mata jikalau ar-rijal dan an-nisa sama-sama mematuhi pesanan Ilahi itu!

Sesungguhnya wanita yang beriman yang solehah itu lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh...

Berikut merupakan beberapa kisah wanita solehah dalam Islam yang boleh kita jadikan contoh teladan,

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah s.a.w.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

" Wanita tiang negara, bila rosak wanita, maka rosaklah negara." Wanita yang baik sahaja yang dapat diharapkan untuk membangunkan negara , sedangkan wanita yang rosak, bukan sahaja dia merosakkan dirinya tetapi juga negara.

Wassalam…

No comments:

Post a Comment

Lilypie Kids Birthday tickers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Popular Posts Widget